SQS DAY 2023 : "Jom Ber-KWSP"

SQS DAY 2023 : "Jom Ber-KWSP"

 

05 November 2023 : Sempena SQS Day 2023 yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Utara turut tidak ketinggalan berkongsi informasi bersama warga Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi ‘Jom Ber-KWSP’.

Ketua Perkhidmatan, KWSP Kulim, Aiman Shah Johan Shah berkata, pihaknya telah memilih UUM kerana meletakkan universiti ini sebagai sasaran berfokus kepada pelajar dan kakitangannya. Di samping itu, menurutnya, mereka ingin memperkasa literasi kewangan dalam kalangan warga UUM.

“Tujuan KWSP juga adalah untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada golongan pelajar dan memperkasa usaha melestarikan tanggungjawab sosial organisasi. “Terima kasih kepada SQS yang sudi mempelawa KWSP Mobile Team untuk turut serta dalam program tersebut yang julung kali diadakan.  Saya berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya yang juga merupakan alumni UUM.

Pada sesi forum bertajuk ‘A Bright Future Begins Today’ telah membuka minda dan memberikan banyak ilmu tentang manfaat simpanan masa depan dengan KWSP.  Para pelajar yang hadir semasa forum tersebut amat berminat dengan penerangan tentang produk-produk KWSP yang ada dan seterusnya telah mengunjungi kaunter KWSP untuk membuka akaun KWSP.

Jom Ber-KWSP yang dibawakan oleh KWSP Mobile Team dari cawangan Perlis, Alor Setar dan Kulim telah dikunjungi oleh bukan sahaja pelajar tetapi juga staf UUM termasuk staf dari anak syarikat, UPSB.

Salah satu saranan pihak KWSP kepada semua warga UUM adalah untuk mendaftar i-Saraan. Pakej I-Saraan bukan sahaja terbuka kepada pekerja, malah pelajar juga boleh turut mendaftar sebagai langkah awal bagi membina masa depan keselamatan sosial yang progresif. 

i-Saraan mensasarkan golongan orang bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap dan suri rumah. Namun begitu kakitangan sektor awam yang telah diletakkan dalam taraf berpencen juga layak menyertai i-Saraan ini.

Selain itu, pihak KWSP juga memberikan penerangan tentang manfaat yang diperolehi melalui i-Saraan ini, antaranya dividen tahunan KWSP, Bantuan Khairat Kematian, dan amaun caruman serendah RM10.